Wednesday, November 24, 2004

Resensi Novel Kawin-Kawin

Mari kita baca ulasan buku*...


KARYA yang berjaya memenangi Sayembara Hadiah Sako Bagi Novel Nasional tentulah bukan calang-calang garapannya. Selain daripada tema utama mesej yang hendak disampaikan penulis, gaya penyampaian juga turut dinilai oleh panel yang dipertanggungjawabkan.

Kawin-Kawin hasilan Azizi Hj Abdullah berjaya mentakhtai tempat pertama sayembara tersebut pada tahun 2001. Orang sastera telah mengelaskan Kawin-Kawin sebagai sebuah naskhah satira yang patut dirujuk oleh penulis muda yang mahu menulis naskhah seumpamanya. Jika sukar mendapatkan karya antarabangsa seperti The Animal Farm, mulakan dengan Kawin-Kawin dulu sudah cukup. Pembaca biasa pula mungkin melabelkan novel ini sebagai sebuah karya lelucon yang mengisahkan seorang lelaki gersang yang ingin berkahwin dengan seorang wanita yang akan menjadi janda setiap kali tempoh perkahwinan kontrak wanita tersebut tamat. Manakala kanak-kanak yang sedang dalam proses tumbesaran mental pula mungkin akan senyap-senyap membelek novel ini memandangkan kedapatan di dalamnya beberapa perenggan yang sedikit hangat dan suam-suam kuku.

Kawin-Kawin menceritakan kita kisah seorang duda bernama Malang yang tinggal di sebuah daerah yang menghalalkan perkahwinan Mut’ah. Rata-rata penduduk di situ taksub dengan kitab yang menghalalkan perkahwinan itu iaitu Kitab Arraya karangan Al Syaikh Dr Demo, dan permasalahan agama mereka terutama yang berkaitan dengan perkahwinan ini akan dirujuk kepada sekutu Dr Demo iaitu Abul Ahkam Al-Syaikh Hajjul Fatawa.

Setelah berkali-kali gagal mendapatkan Mas Umm, Malang akhirnya berhijrah dan berkahwin dengan seorang wanita solehah yang juga pernah bermadu dengan Mas Umm iaitu Siti Menurra. Perkahwinan ini juga bagi Malang adalah bertujuan untuk dia membuktikan kepada Mas Umm akan kemampuannya untuk menjadi seorang suami.

Umumnya cerita ini mempunyai 2 belahan yang memfokuskan kepada 2 cerita, belahan pertama adalah cerita percubaan serta usaha-usaha Malang untuk memikat hati Mas Umm dan seterusnya memperisterikannya secara Mut’ah, dan belahan kedua menceritakan deraan batin yang dialami Malang iaitu syarat dia boleh ‘bersama’ dengan Siti Menurra hanyalah apabila dia selesaikan bayaran mas kahwin perkahwinannnya, iaitu menyalin seluruh al Quran dengan tulisan tangan. Sudah tentu itu sebuah cabaran yang menyiksakan bagi seorang yang buta jawi, buta agama, dan buta mata hati seperti Malang.

Di atas ialah serba ringkas mengenai lapis pertama novel ini. Apakah lapis keduanya? Tiada yang menafikan bahawa lapis kedua Kawin-Kawin ialah biasan kerancuan pergolakan politik tanah air. Pengalaman luas penulis dalam bidang penulisan serta pemerhatian kritisnya pada scenario politik Negara telah membuatkan beliau berjaya menggunakan watak-watak dan plot sebagai perlambangan-perlambangan yang mantap dan relevan. Mungkin inilah yang mengangkat karya ini sebagai pemenang hadiah utama sayembara. Barangkali.

Akhir kata, sebagai penambahan, jika novel ini dipilih oleh pengarah filem untuk dipindah ke layar perak, pelakon utama yang melakonkan watak Malang perlulah berkebolehan membuat aksi-aksi slapstick ala-ala Jim Carrey atau Stephen Chow. Sekian.


Nota Kaki:


*Ulasan ini ditulis untuk komuniti Resensi di dalam laman web eSastera.com

Friday, November 12, 2004

Arafat, Fallujah dan Puisi...

i.


BERITA kematian Yasser Arafat terpampang di akhbar2 tempatan hari ini. Ada juga akhbar tabloid yang memilih untuk meletakkan sensasi kemungkinan Arafat diracun Yahudi sebagai tajuk berita utama akhbar mereka. Ironinya, dalam 3 hari lepas, aku sudah baca laporan mengenai kematian Arafat dari sebuah laman web Indonesia, menurut laporan tersebut kematian Arafat dirahsiakan atas sbb2 tertentu, kemudian laman web tersebut menarik balik laporan kematian Arafat setelah pihak yg berkaitan mengurus Arafat mengatakan beliau masih hidup dan sekaligus menafikan khabar angin kematian Arafat. Tapi hari ini Arafat telah meninggal dunia buat selama2nya. Pemergiannya ditangisi mata-mata duka rakyat Palestin. Persoalan bilakah sebenarnya dia menghembus nafas terakhir dan apakah sebab kematian, hanya Allah yang tahu.
Seperkara yang mengusik jiwa, kematian Arafat menjelaskan lagi kebiadaban Yahudi Zionis apabila mereka menafikan hasrat Presiden Palestin itu untuk jasadnya dikebumikan di masjid al Aqsa.
Apa kata seorang daripada Menteri Kabinet Israel? Lebih kurang beginilah maksudnya "tanah suci (Baitulmaqdis) adalah untuk menyimpan jasad2 raja2 Yahudi, dan bukannya seorang pengganas Arab (merujuk kpd Arafat)". Ya Allah, suka hati mak bapak dia je cakap macam tu!

ii.

Syawal hampir tiba. Apa khabar saudara kita di Iraq (serta negara2 lain yg umat Islam ditindas)?
Mereka hidup dalam pelarian di bumi sendiri. Mereka kebuluran. Mereka menahan sakit. Mereka menahan air mata. Kita? Setengah hari puasa, setengah hati terbelahak kerana kekenyangan berbuka puasa. Menjelangnya Syawal pula, bergembiralah rakyat Malaysia dengan hiburan tak sudah di kaca televisyen. Mengalirlah air mata menonton KL Menjerit... Senaklah perut menahan ketawa dengan lawak2 Lang Buana dan Jutawan Fakir.

iii.

Sebagai umat Islam, aku cuba utk membetulkan diri aku supaya tidak tergolong di kalangan umat yg meruntuhkan agama sendiri (ayuh sama-sama). Sebagai penulis, aku lahirkan sebuah puisi utk didedikasikan kpd saudara seagama yang sedang menahan derita...

IFTAR TERAKHIR DI BUMI FALLUJAH

Di sini
Kau sua tamar perang
Kau sua minuman darah
Untuk ku isi perut anak kecil?
Untuk ku basah tekak isteri?
Mana waras mu?
Barangkali
Kandas di celah gunung Shinerwe
Barangkali
Hanyut di arus sungai Tigris
Ku tuntut jawapanmu
Ayad Allawi

Di sini
Kau cemar bumi wali
Kau tarah maruah kami
Untuk kau saratkan kantung poketmu?
Untuk kau julang angkuh nafsumu?
Barangkali
Leher kau indah dikalung
rantai anjing milik Yahudi
Barangkali
Kau lupa
Kami jua manusia
sama sepertimu
Barangkali apa lagi
Wahai George W Bush?

Di sini
Di balik runtuhan kota
Di bingit tangis anak
Di sayu ratap isteri
Di hangat cengkam peluru
Ku menanti saat
untuk iftar terakhirku
di bumi Fallujah
sebelum aku berangkat
ke langit Tuhan.

Waallahua'lam.
SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Thursday, November 11, 2004

Puisi Untuk Wanita 1




BILA GADIS MENARI

Menarilah duhai gadisku
Menarilah
Tarikan ulas-ulas bibirmu
Alunkan bait zikiran syahdu
Paculkan nama Tuhan yang satu
Biar zahir kemuncak rindu

Menarilah duhai gadisku
Menarilah
Tarikan rentak gerak sang sufiah
Lenggokkan irama nyanyian mujahidah
Biar gemalai rentak gerakmu
Biar beralun irama nyanyimu
Biar sampai maksud hatimu

Menarilah duhai gadisku
Menarilah
Tarikan tarian kesabaran Asiah
Tarikan tarian kesetiaan Khadijah
Tarikah tarian ketabahan Sumayyah
Tarikan tarian keasyikan Rabiatul Adawiyah

Menarilah
Menarilah hingga tertari
Tarian sufiah rentak tariqah
Cumbu fatamorgana ditangkis betah
Disubur nafsu tenang luhur
Dikubur nafsu gelisah ammarah
Digapai makrifah ditancap syahadah.

-Amir Mukhriz-
12.ix.25

(ditulis untuk majalah BESt November 2004)


testing gelombang...

testing
testing
testing

Wednesday, November 03, 2004

Gangguan Gelombang.

SIARAN TERGENDALA...
HARAP MAAF :-)

Wednesday, October 20, 2004

Ucap al fatihah, sedekah takziah.

Aku terjumpa petikan ini di dalam sebuah laman mahasiswa di Internet:

... (10/16/04 8:51:01 PM) dari Al Azhar, Mesir merakamkan ucapan AL-Fatihah kepada Ustaz Zaki Ayob...

'Al Fatihah' itu ucapankah?

Cadangan:
i) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ustaz Zaki Ayob *

***

Peperiksaan akhir semester aku sudah tamat, tapi masih ada 2 presentation perlu aku buat iaitu pada 23hb dan 25hb.
* Ustaz Zaki Ayob ialah penuntut Malaysia di Mesir yang dibunuh oleh seorang warga Indonesia, turut dibunuh ialah isteri dan dua orang anak allahyarham.
Sama-sama kita baca surah al fatihah dan sedekahkan pahalanya kepada mangsa sekeluarga.

Tamat.

Sunday, October 17, 2004

Ramadan... Terawih di Hutan?



Mula Ramadan
berduyun umat
melunas terawih
sunnah semarak
zaman berzaman

Lelah tok siak
menghampar alas
merai jemaah
melimpah ruah

Akhir Ramadan
saf maju
terus maju
........
maju ke hadapan.

Tinggallah bilal
menyeru selawat
lantas di sahut
imam yang taat

Sangka baikku
sekalian jemaah
pulang ke kampung
sujud dan rukuk
terawih dan witir

Menjemput ziarah
malam al Qadr
malam barakah
pastinya amal
kian bertambah.

Ku jenguk kampung
ku jejak surau
........
ah, kosong juga!
........
kecamuk fikir
........

Ke hutankah mereka?

****************************************************************************

Pada mulanya aku sedikit ralat untuk menulis terawih sebagai terawih dan bukannya tarawih. Perkara sama berlaku pada ramadan, asalnya aku cenderung menulis ramadhan. mengapa? untuk mengekalkan lafaz Arabnya. tapi setelah aku membelek Kamus Dewan, ternyata Ramadan ditulis Ramadan dan bukannya Ramadhan. Untuk terawih, kedua-duanya diterimapakai iaitu terawih dan tarawih.

Bagaimana pula dengan lafaz Arab? pada aku soal lafaz Arab mungkin boleh dimaafkan apabila istilah tersebut sudah dibahasaMelayukan. hujah aku, jika Ramadhan hendak benar2 dilafazArabkan, setepatnya ditulis Romadhon (sebenarnya masih tidak tepat), kerana huruf ro apabila dibarisataskan bunyinya bukanlah ra (ramadhan). begitu juga dgn terawih, mmg di dlm lafaz Arab yg betul tidak ada 'te', ttp sblm ini pun, dah lama kita gunakan selawat dan bukannya solawat apabila berbual ataupun menulis.

Wallaahua'lam.

Nota kaki :

Aku jahil dalam bahasa Arab mahupun dalam bahasa Melayu, hujah aku di atas mungkin banyak kekurangan dan kelemahan. Aku sedia ditegur dan dibetulkan.

Tamat.

Saturday, October 16, 2004

Mari borong jualan murah.

SUDAH 2 Ramadan. Alhamdulillah, manisnya terasa. Pastinya tidak semanis dan selazat apa yang sdg dikecap oleh kekasih-kekasih Allah. Tetapi syukur kerana Allah masih kekalkan hidayah dan umur masih disisakan bagi menjadi insan yang sempat menghuni Ramadan.

Ramadan tahun lepas amat aku persiakan. Culas beramal. Bahkan bermaksiat. Ampunilah keampunan dan kejahilanku Ya Rabb.

Kalian? Sama2lah kita beramal. Borong jualan murah yang ditawarkan Tuhan. Perbanyakkan bekal untuk ke alam yang asing, alam yang kekal, alam perhitungan.

Untuk tilawah al Quran, aku tertarik sangat dengan kaedah 4 halaman al Quran setiap kali lepas solat Fardhu bagi menyudahkan satu al Quran sejurus berakhirnya Ramadan. Untuk membaca lebih lanjut, sila pergi ke pautan blog MBA yang aku letakkan di sudut kanan blog aku.

Sekian, Selamat Mengimarahkan Ramadan. Kepada aku dan kepada kalian.

Motivasi beramal:

Berkata Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda (yang bermaksud) :

...dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu"

-Sahih Bukhari-

Semoga Allah ampuni dosa aku dan dosa kalian.

Waallahua'lam.